cikgu fadz kembali mewarnai dunia blog..

Harapan saya agar blog ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pembaca..aminn

Ahad, 26 September 2010

Album Raya 2010








Sambutan Hari Raya Sekolah 23 sept 2010



Salam teman2...baru2 ini sekolah TB telah mengadakan majlis sambutan Hari Raya peringkat sekolah...Sambutan yang julung-julung kali diadakan ini telah memberikan pengalaman baru kepada murid2 TB...Murid2 telah memberikan respons yang sangat baik...Mereka begitu teruja pada hari itu...Masing2 mengenakan busana hari raya yang berwarna-warni...si dara cantik bergaya dengan baju kurung dan tudung pelbagai gaya...ditambah pula dengan gaya kasut yang pelbagai inci...hihihi...apa2 pun...sambutan ini memang patut diadakan lagi pada tahun2 akan datang...sangat menarik...di samping kemeriahan menyediakan juadah..secara tidak langsung nilai-nilai murni dapat dipupuk sesama murid dan guru..contohnya..semangat bekerjasama,toleransi, setiakawan..jujur dan pemurah...semoga kalian ikhlas ...aminnn!





Bab bergaya ....serah ke diorg ni...!







Ini pelajar tingkatan 5E...meriah betul mereka hari ini..pelbagai gaya..semoga kalian bergembira ya!






Jumaat, 27 Ogos 2010

Majlis Berbuka Puasa ( 24 Ogos 2010 )

Majlis Berbuka Puasa bagi semua guru dan kakitangan sekolah...alhamdulillah...ramai yang datang memeriahkan majlis ini...menunya pun boleh tahan...gulai ayam kampung, kerabu perut,telur dadar dan ulam2...alhamdulillah...kenyang...
Majlis ini disusuli dengan solat maghrib berjemaah seterusnya solat isyak dan tarawih...Majlis yang julung-julung kali diadakan semenjak saya di sekolah ini...harapnya dapatlah diteruskan pada tahun yang akan datang...aminnn

Selasa, 24 Ogos 2010

Panduan Penulisan Karangan

KARANGAN RESPONS TERBUKA

1. A

KARANGAN RESPONS TERBUKA

1. APAKAH PERENGGAN ?
Perenggan merupakan satu kumpulan ayat tentang isi atau idea yang sama. Dalam penulisan, pembinaan perenggan adalahpenting untuk membahagikan isi yang ingin disampaikan. Setiap kali perubahan sesuatu isi atau fokus berlaku, kita perlu memulakan perenggan baru.

PANDUAN MEMBUAT PERENGGAN :
Untuk menghasilkan perenggan yang baik dan berkesan :

1. Tentukan ayat-ayatnya berkait.
2. Ada kesatuan dan pertautan isi.
3. Kesatuan hanya dapat dicapai jika isi yang berkait sahaja dipilih.
4. Pertautan pula dapat dicapai dengan menggunakan penanda wacana. Contohnya: selain itu, tambahan lagi, di samping itu, juga, seterusnya dan selanjutnya.

PERENGGAN DALAM KARANGAN RESPONS TERBUKA.

1. Perenggan pengenalan
2. Perenggan isi
3. Perenggan kesimpulan

PERENGGAN PENGENALAN :
Terdapat dua jenis ayat dalam perenggan pengenalan karangan respons terbuka iaitu :
1. Ayat rangsangan.
2. Ayat arah.

AYAT RANGSANGAN :
Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau soalan karangan. Kebiasaannya, ayat 1 hingga ayat 4 pengenalan merupakan ayat rangsangan (AR). Ayat rangsangan tidak membincangkan perkara yang akan disentuh dalam perenggan isi.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

(AR1) : Dalam tempoh 10 tahun belakangan ini, peperangan telah berlaku di merata-rata kawasan di dunia ini.

(AR2) : Peperangan ini melibatkan negara-negara yang berjiran atau negara-negara yang mempunyai idealogi yang bertentangan.

(AR3) : Peperangan juga berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah kuasa besar yang ingin menguasai negara kecil demi memenuhi kepentingan ekonomi mereka atau amaran kepada negara lain.

(AR4) : Dalam akhir abad yang lalu, negara Bosnia telah berperang dengan negara Serbia, Amerika Syarikat telah menyerang negara Afganistan dan Iraq, dan banyak lagi.

AYAT ARAH :
Ayat arah ialah ayat yang menjawab soalan karangan. Ayat ini ialah ayat yang menjurus kepada kehendak karangan atau ayat yang menyatakan fokus utama perbincangan karangan.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

Ayat arah :
Kesemua siri peperangan yang berlaku ini sebenarnya banyak menimbulkan kesan yang negatif, baik kepada negara mahupun kepada masyarakat dunia yang lain.

PERENGGAN ISI :

1. APAKAH AYAT TOPIK ?
Ayat topik menyatakan isi utama yang ingin disampaikan dalam sesuatu perenggan. Ayat topikmempunyai perkara pokok atau satu aspek yang ingin dinyatakan tentang perkara pokok tersebut. Biasanya pernyataan sesuatu aspek itu akan dapat memberikan fokus kepada penulis dan pembaca. Ayat topik bertindak sebagai satu kawalan dalam penulisan isi (isi sokongan) dalam sesuatu penulisan.

2. APAKAH AYAT HURAIAN ?
Ayat topik perlu disokong oleh ayat huraian yang terdiri daripada isi sokongan. Isi sokongan pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti fakta, pendapat, peristiwa, sebab dan akibat, statistik dan contoh. Biasanya, isi sokongan dapat memberikan bukti, menghuraikan idea atau menjawab soalan yang dikemukakan oleh isi utama dalam ayat topik, dan isi tersebut mestilah berkait antara satu sama lain. Dalam penghasilan isi dan penulisan ayat huraian, isi kawalan dalam ayat topik menjadi dasar utama.

3. APAKAH AYAT PENYIMPUL ?
Ayat penyimpul terdiri daripada tiga jenis iaitu :

1. Ayat yang menyatakan semula ayat topik.
2. Ayat yang menyimpul keseluruhan isi dalam perenggan.
3. Ayat menyimpul yang menghubungkan perenggan.

4. MASUKKAN PERIBAHASA ATAU UNGKAPAN MENARIK YANG RELEVEN DENGAN TOPIK YANG DISENTUH.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

Contoh peribahasa/ ungkapanyang boleh digunakan:

1. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
2. Jong pecah yu kenyang.
3. Kalau terbakar padang, maka terbakar belalang.
4. Air mata jatuh ke perut.

PERENGGAN PENUTUP :

Penutup merupakan kesimpulan daripada huraian yang telah ditulis dalam perenggan isi. Penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumkan keseluruhan karangan dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna.

JENIS AYAT DALAM PERENGGAN PENUTUP:

1. Ayat kesimpulan umum
2. Ayat pendapat
3. Ayat cadangan
4. Ayat komen
5. Ayat penilaian
6. Ayat harapan
7. Ayat penutup

Ayat kesimpulan umum : Masalah disiplin.
Tuntasnya, jelaslah bahawa masalah disiplin yang berlaku dalam karangan murid di sekolah disebabkan oleh kurangnya kasih sayang daripada keluarga.

Ayat pendapat : Kesan peperangan.
Kesimpulannya, semua peperangan yang berlaku di mana-mana bahagian dunia ini banyak membawa kesan buruk, baik kepada negara itu sendiri mahupun kepada negara lain.

Ayat cadangan : Kesan peperangan.
Oleh itu, setiap pihak atau negara yang berkenaan mestilah mencari jalan yang terbaik atau berunding supaya peperangan dapat dielakkan.

Ayat komen : Ulasan cerpen.
Cerpen ini mampu untuk memberikan kesedaran, khususnya kepada remaja, betapa kejayaan dapat dicapai oleh sesiapa sahaja jika ada kesungguhan, kecekalan, semangat, dan kemahuan yang tinggi.

Ayat penilaian : Kesan peperangan.
Jika langkah ini tidak diambil, negara di seluruh dunia akan menghadapi masalah atau menerima kesan daripada peperangan tersebut.

Ayat harapan : Kepentingan perpaduan.
Jadi, rakyat harus sedar akan kepentingan perpaduan kerana sekali perpaduan itu runtuh, maka susah untuk mewujudkannya semula.

Ingatlah pepatah Melayu yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Ayat Penutup: Kesan peperangan
Peperangan merupakan kejadian yang sia-sia kerana peperangan ini tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak seperti yang terungkap dalam pepatah Melayukalah jadi abu, menang jadi arang.

Rujukan:
1. Buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4, DBP.
2. Abdul Ghalib Yunus & Dr Ghazali Lateh, Esensi Bahasa Malaysia SPM, Longman.

TEMA KARANGAN TINGKATAN 4

TEMA DALAM BUKU TEKS TINGKATAN 4

Unit 1 : SENARIO MASYARAKAT KITA

Masyarakat Malaysia Alaf Baru

Tradisi Kejiranan Dalam Masyarakat

Unit 2 : AMBANG REMAJA

Remaja dan Cabaran

Remaja dan Keluarga

Disiplin Remaja dan Kokurikulum


Unit 3 : DUNIA SEMAKIN CANGGIH

Kad Elektronik

Budaya Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi

E-mel dan anda

Unit 4 : KERANAMU Malaysia

Patriotisme

Malaysia Alaf Baru

Pengorbananku

Unit 5 : MELESTARIKAN ALAM SEKITAR

Pendidikan Alam Sekitar

Kualiti Udara

Pencemaran Sungai Kita

Unit 6 : RIADAH

Hobi, Sukan dan Rekreasi

Cabaran di Puncak Kinabalu

Hobi dan Cabarannya

Unit 7 : GENERASI KITA

Wawasan Generasi Kita

Patriotisme Generasi Muda

Generasi Pelapis

Unit 8 : GAYA HIDUP SIHAT

Amalan Gaya Hidup Sihat

Remaja dan Kesihatan

Obesiti dan Pencegahannya


Unit 9 : KERJAYA

Minggu Kerjaya

Cita-cita dan Kerjaya

Surat Permohonan

Unit 10 : WARISAN BANGSA

Pemeliharaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah

Warisan Seni Bina MelayuTradisional

Pemuliharaan Warisan Sejarah

Unit 11 : INDUSTRI PELANCONGAN MALAYSIA

Kebudayaan dan Pelancongan

Malaysia dan Destinasi Pelancongan

Warna-warna Malaysia

TEMA KARANGAN TINGKATAN 5

UNIT 1 : RUMAH TERBUKA RAKYAT MALAYSIA

Rumah Terbuka Aidilfitri
Rumah Terbuka Malaysia
Kemanusiaan Sejagat

UNIT 2 : PENDIDIKAN ALAF INI
E-Pendidikan
Pendidikan Maya
Kepentingan Ilmu Dalam Era Globalisasi

UNIT 3 : PENGANGKUTAN ALAF INI
Tren ERL
Kejayaan Negara dalam Perindustrian Tren Laju
Harapan Masa Depan

UNIT 4 : BANDAR PINTAR MALAYSIA
Bandar dalam Taman
Putrajaya Mercu Tanda Kemajuan Negara
Perpaduan Menjamin Keamanan

UNIT 5 : ALAM PEKERJAAN
Kerjaya Masa Depan
Kejayaan dalam kerjaya
Impian, Usaha dan Kejayaan

UNIT 6 : PENDIDIKAN INDUSTRI
Pendidikan Industri di IPT
Pendidikan Industri Teras Pembangunan Negara
Cabaran Pendidikan Industri

UNIT 7 : BIOLEMBANGAN
Kejayaan Melalui Pertanian
Bioteknologi dalam Pertanian
Perkembangan Pertanian

UNIT 8 : PELABURAN
Pelaburan Mengubah Masa Depan
Pelaburan Menerusi Saham Amanah
Pelaburan Dalam Sektor Hartanah

UNIT 9 : TELEPERUBATAN
Kesihatan Sepanjang Hayat
Amalan Pemakanan Seimbang
Cegah Sebelum Parah

UNIT 10 : SUKAN SEANTERO DUNIA
Malaysia Jaguh Sukan SEA
Sukan Mengharumkan Nama Negara
Malaysia Penganjur Sukan Antarabangsa

UNIT 11 : KOMUNIKASI GLOBAL
Mykad Ciptaan Kita
Internet dan Dunia Tanpa Sempadan
Seni Sastera Khazanah Bangsa

UNIT 12 : PELESTARIAN BUDAYA WARISAN
Memelihara Budaya Bangsa
Anugerah Seni Negara
Adat Perkahwinan Masyarakat Malaysia



sumber:blog cikgu razak

Rezeki

rezeki

by Cik Fadz on pada 04hb Mei 2010 pukul 10.11 ptg
Telah banyak kali rasanya disebutkan oleh ribuan malah jutaan ilmuan Islam di seluruh dunia, bahawa menderma dan bersedeqah itu menambahkan rezeki dan bukan mengurangkannya.

Namun sudah tentu akan tetap wujud individu yang masih belum mampu memperolehi keyakinan bahawa rezekinya akan bertambah apabila menghulurkan sejumlah wang yang diusahakan dengan penat lelah itu.

Ini berlaku biasanya, disebabkan oleh minda individu terbabit yang mengecilkan skop rezeki hanya kepada penilaian naik turun harta dan wang di hadapan mata. Akibat dari itu, apa yang berkurang akan dirasa sentiasa menurun. Perasaan itu terus menerus mengunci dirinya untuk bersedeqah dan menyumbang, malah lebih serius apabila ada sebahagiannya menahan diri dari berbelanja untuk diri dan keluarganya.


MAKSUD REZEKI DALAM ISLAM

Bagaimana sebenarnya maksud rezeki di dalam Islam?

Rezeki di dalam Islam bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta'ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam. Hakikatnya orang yang ‘memberi' dan menyumbang akan memperolehi pulangan dari Allah dalam bentuk yang amat pelbagai, juga mencakupi material dan spiritual.

Namun sebelum itu, perlu difahami, sebagaimana rezeki yang tidak boleh dikecilkan skopnya hanya kepada harta, begitu juga ‘pemberian' dan ‘sumbangan' yang juga tidak terhad kepada wang dan harta. Ia sangat nyata sebagaimana yang pernah saya tuliskan petikan hadis Nabi Muhammad dalam artikel saya sebelum ini . Bahawa mengajak orang kepada kebaikan dan melarangnya dari kemungkaran adalah sebuah pemberian berharga, membantu mereka yang melakukan kerja yang baik itu pemberian, dan menahan diri dari melakukan maksiat itu sendiri merupakan sebuah pemberian amat bermakna.

Apa yang jelas, semua jenis ‘pemberian' dan ‘sumbangan' itu adalah amalan kebajikan apabila ia menepati dua syarat yang paling minima iaitu :-



1) Ikhlas kerana Allah


2) Ia berupa sumbangan ke arah kebaikan berdasarkan penilaian hukum Islam.


Justeru, apa sahaja yang disumbangkan, sama ada idea, ilmu, teguran, nasihat, tenaga untuk kerja, masa, perasaan, emosi dan sebagainya untuk membawa kebaikan untuk Islam, ia adalah sumber terbukanya rezeki di sisi Islam. Ia juga merupakan sumber kewujudan unsur ‘berkat' di dalam kehidupan dan harta.


Setinggi-tinggi darjat insan soleh, dia mampu mengekang dirinya di ketika menyumbang dari terpengaruh oleh fikiran atau bisikan seperti, "apa balasannya di dunia"?.

Apa yang akan menjadi dorongan dan motivasi utama hanyalah apa yang bakal diperolehi di akhirat. Bukan ganjaran di dunia yag difikirkan. Apa yang diinginkan untuk dunianya hanyalah memperolehi rezeki yang BARAKAH atau berkat.

Menurut para ulama ‘barakah' atau berkat itu adalah :-

هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثرته، وإذا حلت في كثير نفع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل.

Ertinya : iaitu kepastian kebaikan disisi Ilahi pada sesuatu perkara, yang mana apabila ia jatuh kepada perkara yang sedikit ia akan menambah banyakkan ia, dan apabila ia jatuh kepada yang banyak, ia akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila ia digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah azza wa jalla.

Walaupun begitu, tidak ramai manusia yang mampu mencapai darjat tersebut, dan masih ramai individu soleh yang melakukan kebaikan, namun masih sering terfikir-fikir tentang ganjaran buatnya untuk dinikmati di dunia ini lagi.



WHAT YOU GET BACK?

Hasilnya, ramai yang bertanya berkenaan ‘what will you get back?'

Bagi membuka minda kita semua akan bentuk-bentuk balasan yang mampu diperoleh hasil dari segala sumbangan kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. Secara ringkas, saya bahagikan ganjaran yang boleh diperolehi sejak dari alam dunia ini lagi, semua ganjaran-ganjaran ini mempunyai dalil dan athar yang tersendiri, namun bagi mengelakkan terlalu panjang, saya tidak menyertakan semua dalilnya. Balasan tersebut adalah seperti berikut :-

a. Keberkatan dalam kehidupan berkeluarga

· Rumahtangga kita didamaikan oleh Allah dari sebarang pergaduhan besar yang meruntuh kepercayaan dan kebahagian si suami, isteri dan anak.

· Hati dan fikiran dikurniakan ketenangan yang akhirnya memberikan kesan positif kepada produktiviti kita di tempat kerja dan tugas, lalu mendapat kenaikan gaji dan pangkat.



b. Kesihatan

· Allah selamatkan kita dan keluarga dari penyakit.

Nabi bersabda :



صنائع المعروف تقي مصارع السوء والآفات والهلكات

Ertinya : Perlakuan perkara kebaikan mampu menghalang dari terjerumus dalam keburukan, kecatatan dan kebinasaan. (At-Tabrani, Al-Haitahami : sanadnya Hasan)

· Kita diselamatkan dari kemalangan dan bencana seperti di jalanraya, di dalam rumah, luar rumah, di tempat kerja dan sebagainya. Namun perlu diingat, ADA JUGA TERDAPAT HARTA YANG BERKAT TETAPI DITIMPA MUSIBAH DAN BENCANA, namun tanda berkatnya ia adalah bencana dan musibah itu membawanya lebih hampir kepada Allah dan bukan semakin jauh. Itulah fungsi keberkatan harta itu, ia hilang dan ditimpa musibah sebagai asbab untuk kebaikan tuan miliknya.JUSTERU, bukan tugas kita untuk menuduh harat si polan itu berkat atau tidak berkat setiap kali ditimpa musibah kerana kita TIDAK TAHU HAKIKAT SEBENARNYA.

· Dikurniakan zuriat yang sihat dan jika sakit sekalipun, ia tidak seteruk mereka yang lebih parah sakitnya.



c. Harta

· Dihindar dari mendapat kerjaya yang haram dan terselamat dari sebarang jawatan atau kenaikan pangkat yang memudaratkan masa hadapan. Perlu diingat bukan semua kenaikan pangkat itu baik untuk hati dan jiwa manusia, ada sebahagian besar jawatan yang menghancur dan mengubah habis jiwa kebaikan dalam diri seseorang kepada jiwa penerima rasuah, tamak, rakus kuasa dan sebagainya.

· Direndahkan minat dan nafsu kepada harta dan pendapatan haram serta diberi kekuatan untuk istiqamah dalam yang halal. Inilah yang boleh digelar sebagai salah satu dari cabang ‘zuhud', iaitu kebebasan jiwa dan hati dari keterikatan dengan harta dunia. Jika diperolehi, syukur dipanjatkan, jika ia hilang dan pergi tidaklah terlalu ditangisi.

· Diberikan rasa cukup dan selesa dengan pendapatan yang diperolehi kini walau zahirnya kelihatan kurang mencukupi. Inilah dinamakan oleh ulama tasauf sebagai Qana'ah iaitu berasa cukup dengan apa yang telah ada, tetapi tidak henti untuk terus menerus memperbaiki diri dan kerja.

· Kenderaan yang digunakannya jauh lebih baik dari kenderaan yang jauh lebih mahal darinya. Begitu juga harta-hartanya yang lain seperti rumah dan lokasinya, diberi rezeki oleh Allah untuk berada di persekitaran yang baik, berjiran dengan mereka yang tidak menimbulkan banyak masalah.

· Sumber pendapatan tambahan boleh datang secara tanpa disangka-sangka. Ia tidak semestinya dalam masa terdekat, ia mungkin berlaku 10 atau 20 tahun akan datang. Ini termasuklah di dalam tawaran Allah yang disebut di dalam durah at-Talaq, yang dinamakan oleh ramai sebagai ayat seribu dinar :



وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Ertinya : Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. ( At-Talaq : 2-3)

Namun perlu diperhati sejelas-jelasnya, ayat di atas mensyaratkan seseorang untuk menjadi ‘BERTAQWA' sebagai jalan dibuka jalan kemudahan dan kebaikan dari pelbagai sumber tidak dijangka. Tidaklah sama sekali tepat pandangan ramai yang mengaitkan ‘gantung' ayat tersebut di rumah dan kedai sebagai cara meningkatkan rezeki dan pendapatan, tanpa bersifat taqwa di dalam kerjaya, perniagaan dan tugasan. Sedangkan hakikatnya, taqwa itulah kuncinya, bukan dengan menggantung ayat tersebut dan sebagainya.

Ibn Abbas menegaskan maksud jalan keluar di atas sebagai jalan keluar dari perkara syubhat di dunia, jalan keluar untuk menghadapi kematian, dan kesukaran di hari kiamat. (Tafsir Al-Qurtubi)



d. Sekeliling yang baik

· Dipermudah oleh Allah untuk berada di tempat dan persekitaran yang baik dan tidak merbahaya untuk diri dan keluarga.

· Kewujudannya menjadi pelopor kepada kebaikan mereka yang disekitarnya, penyekat kepada kemaksiatan. Ia bertepatan dengan sebuah sabdaan Nabi:

إن من الناس مفاتيح للخير مغاليق للشر وإن من الناس مفاتيح للشر مغاليق للخير فطوبى لمن جعل الله مفاتيح الخير على يديه وويل لمن جعل الله مفاتيح الشر على يديه

Ertinya : Dari kalangan manusia ada yang menjadi kunci kebaikan dan penutup serta penghalang kepada kejahatan. Dan ada pula yang menjadi kunci kejahatan dan penutup kebaikan, bergembiralah bagi sesiapa yang dijadikan oleh Allah sebagai kunci kebaikan di tangannya, dan celakalah mereka yang kunci kejahatan di tangannya ( Riwayat Ibn Majah : Sohih )



KESIMPULAN

MashaAllah, terlalu banyak cara dan kaedah untuk Allah membalas baik sangka hambaNya dan amalan kebaikan hambaNya. Sama ada di dunia atau akhirat.

Lalu apa yang menjadi penghalang kini hanyalah ‘hati' masing-masing.

Jika hati itu masih belum mampu menyakini maha Pemurahnya Allah ta'ala.

Masih belum boleh menyakini Allah akan membalasnya.

Masih belum yakin wujudnya Allah dan ganjaran kebaikan-Nya.

Selagi itu, seseorang itu akan sentiasa dihambat pelbagai perasaan tamak, kedekut dan malas ketika ingin memberi.

Jalan awal penyakit tersebut adalah ‘malas' dan dikuti berterusan melakukan dosa dan berasa jalan ‘dosa' itu adalah cara pendapatan yang terbaik baginya.

Saya teringat, tatkala saya mengingatkan orang ramai perihal pelaburan haram, skim haram, skim cepat kaya, money game, skim piramid wang, MLM yang haram dan sebagainya, lalu berteriaklah beberapa orang yang tidak berpuas hati seraya berkata :

"Kami orang susah, ustaz bolehlah kata itu dan ini...cuba ustaz duduk di tempat kami selaku individu yang kurang berpendidikan, kerja berat tapi gaji sedikit. Itulah sahaja cara yang mudah untuk kami menambah pendapatan"

Individu seperti ini tidak sama sekali sedar, keterlibatannya dalam perkara haram HANYA AKAN LEBIH MENAMBAH JAUHNYA DIA DARI SEBARANG REZEKI HARTA DAN KETENANGAN. Nabi pernah bersabda :

لا يزيد في العمر إلا البرولا يرد القدر إلا بالدعاء وإن الرجل ليحرم الرزق للخطيئة يعملها

Ertinya : Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan[1], dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu'allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya" ( Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan)

Justeru, jangan jadikan posisi kesukaran diri di waktu ini sebagai excuse untuk melibatkan diri dalam perkara yang haram, kerana ia sama sekali bukan jalan keluar tetapi ia jalan buntu dan hanya akan melebarkan bencana terhadap diri dan keluarga.

Imam Ibn Kathir pernah mengulas bahawa apabila manusia melupakan soal dosa pahala dalam harta dan kehidupan mereka maka

وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Ertinya : Tetapi mereka telah mendustakan ( tidak patuh kepada hukum Islam), maka kami rampas dari mereka apa-apa yang telah mereka usahakan (Al-A'raf : 96 )

PERKEMBANGAN POTENSI, JANGAN ASYIK MEMBUAT ‘EXCUSE'

Apa yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan duit simpanannya untuk mempelajari ilmu yang boleh digunakan untuk memperkembang potensi diri, bukan dengan menceburi skim-skim haram itu. Dan kemudian mengemukan alas an serta excuses yang pelbagai. Lihat ulama tabi'en berkata :

من طلب العلم تكفل الله برزقه

Ertinya : Barangsiapa yang menuntut ilmu Allah seolah telah menjamin rezekinya ( Kanzul Ummal, 10/139)

Ilmu itulah yang akan menerangkan kita jalan untuk bekerja dengan sebaik mungkin, dalam keadaan halal dan seterusnya membuka lebih banyak pintu rezeki. Semua ini perlu dilakukan tanpa malas. Atas dasar itu Nabi mengingatkan :-

لو أنكم توكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصاً وتروح بطاناً

Ertinya : Kalau kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah, nescaya akan diberikan rezeki kepadamu sebagaimana diberikan rezeki kepada burung-burung, yang keluar dengan perut lapar di pagi hari, pulang dalam keadaan kenyang.

Para ulama menyebut dengan jelas lagi terang, maksud tawakkal dalam hadis di atas merujuk kepada usaha, ilmu dan bersungguh dan sesudah itu bersangka baik kepada Allah.

Sesiapa yang bersangka baik kepada Allah, Allah akan menunaikan sangkaan baiknya. Begitu juga sebaliknya.

Akhir sekali, Nabi menasihatkan seorang sahabat yang agak kerap memohon bantuan harta dari Nabi s.a.w:-

يا حكيم إنّ هذا المال خضرة حلوة فمن أخذه بسخاوة نفس بورك له فيه، ومن أخذه بإشراف نفس لم يبارك له فيه، كالذي يأكل ولا يشبع

Ertinya : Wahai Hakim, sesungguhnya harta merupakan seperti buahan yang subur, manis lagi disukai, barangsiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (dan tidak meminta-minta) nescaya akan diberkati baginya pada harta itu, barangsiapa mengambilnya dengan tinggi diri (serta tamak) tiada berkat di dalamnya, sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang" (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)